Jika
dia memakai jeans dan kemeja-t, Yusmadi Yusoff kelihatan seperti
seorang pelajar atau pemuda biasa. Maka tidak hairanlah jika orang yang
tidak mengenalinya akan merasa terkejut apabila mendapat tahu dia
seorang peguam dan Ahli Parlimen.
“Saya
hanya memakai kot jika di parlimen, di mahkamah atau majlis rasmi
sahaja. Tetapi jika di luar atau ketika melawat kawasan, saya selesa
berpakaian ringkas seperti jeans dan kemeja-t. Pakaian yang formal akan
menimbulkan jurang atau rasa tidak selesa,” katanya.
Raut
wajah dan warna kulitnya juga menyebabkan Yusmadi sering disangka
bangsa Cina. Bangsa Cina utara menegurnya dalam loghat Hokkien. Apabila
ke Thailand pula mereka menyapanya dengan bahasa Siam. Begitu juga
apabila Yusmadi berada di Indonesia baru-baru ini, dia disangka Jawa.
“Sebenarnya
darah Melayu Siam mengalir dalam tubuh saya,” jawab
Yusmadi yang boleh dianggap salah seorang Ahli Parlimen yang paling muda
di negara ini.
Apakah wajahnya yang “awet muda” itu menyebabkan orang tidak memandang serius?
“Masyarkat
sekarang tidak begitu. Mereka sudah bijak menilai. Lagipun saya
bukannya muda. Umur saya sudah 35 tahun. Bagaimanapun saya menganggap
wajah “awet muda” ini sebagai kelebihan yang dapat saya gunakan untuk
mendekatkan diri dengan golongan muda,” katanya.
Yusmadi,
anak kelahiran Kampung Jalan Bharu, Balik Pulau, dalam usia 35 tahun
telah memikul pelbagai tanggungjawab besar. Selain memegang amanah
sebagai Ahli Parlimen Balik Pulau, beliau adalah Fellow Hubert H.
Humphrey Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia dan Fellow Demokrasi,
Pembangunan & Undang-Undang di Universiti Stanford di California.
Yusmadi
juga adalah Pengerusi Biro Strategi & Hubungan Antarabangsa serta
Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Pulau Pinang dan Parti KeADILan
Rakyat (PKR).
Aktivis
sosial ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Korok
Balik Pulau sebelum melanjutkan pelajaran di SMKA Al-Mashoor Pulau
Pinang dan Kolej Islam Sultan Alam Shah, Kelang. Beliau kemudian
mengambil jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Yusmadi
menganggap dirinya sebagai “late-starter” dalam politik. Katanya, minat
menyertai politik timbul lambat kerana sewaktu zaman persekolahan dia
lebih meminati sukan dan seni.
“Semasa
sekolah dulu saya minat rock kapak. Saya juga pernah bekerja sebagai
pengurus pentas untuk pertunjukan fesyen Nasha Aziz, selain menjadi ahli
Karyawan. Sampai sekarang saya masih mengikuti perkembangan seni dan
sukan.
“Saya
mula menceburi dunia politik ketika tahun kedua fakulti undang-undang.
Itupun secara kebetulan apabila saya diajak bertanding sebagai naib
presiden persatuan undang-undang,” kata Yusmadi yang dikenali sebagai
“peguam selebriti” di kalangan orang seni.
Ini
kerana beliau sudah banyak kali membantu golongan karyawan seni di
mahkamah. Yusmadi pernah mengendalikan kes wartawan hiburan disaman oleh
Sharifah Aini (Zieman dari The Star dan Saodah Ismail dari
Agendadaily).
Antara
selebriti lain yang pernah dibantunya ialah Habsah Hassan (penulis
lirik), Betty Banafe (penyanyi) dan Kumpulan Mohram. Beliau juga memberi
khidmat nasihat kes perceraian Erra Fazira dan Yusry KRU.
Yusmadi
yang juga pernah menjadi kolumnis Utusan Malaysia menerusi ruangan
“Dengan Izin”. Di bawah firma guamannya sendiri, Fahda Nur &
Yusmadi, dia turut terbabit sebagai peguam utama atau peguam bersama
dalam beberapa kes berprofil tinggi, antaranya menjadi peguam bela bagi
kumpulan Al-Maunah (kes penderhakaan pertama di Malaysia), Ezam Noor
(kes OSA) Datuk Seri Koh Kim Teck (kes bunuh) dan peguam bela bagi bekas
ahli UMNO, Ruslan Kassim yang disaman oleh Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Mengapa Yusmadi menceburkan diri dalam politik?
“Saya
suka menolong orang. Malah sebagai peguam, saya banyak menolong orang
yang terbabit dalam kes-kes hak asasi. Malah, saya tidak mengenakan
bayaran kepada golongan yang kurang mampu.
“Saya
dilahirkan daripada keluarga susah. Ayah saya seorang pemandu dan ibu
pula suri rumah. Saya datang dari keluarga yang berpecah-belah. Saya
pernah menjual kuih untuk membantu keluarga. Saya tahu bagaimana rasanya
hidup susah dan mahu menolong orang yang kurang bernasib baik. Saya
yakin saya dapat melakukannya menerusi pembabitan dalam politik,”
jawabnya ringkas.
Menceritakan
kali pertama dia ditawarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding
dalam Pilihanraya Umum 2008, Yusmadi berkata, dia mendapat tentangan
dari ibunya yang bimbangkan pembabitannya dalam politik akan menjadikan
keluarga mereka lebih susah.
“Ibu
pernah nasihat, jangan sertai parti pembangkang, nanti hidup susah.
Tetapi akhirnya saya berjaya meyakinkan ibu bahawa saya bertanding untuk
membantu orang susah. Akhirnya ibu memberikan restu.
“Sungguhpun
begitu ada pihak telah mengekslpoitasi kebimbangan ibu saya dengan
menimbulkan cerita bahawa saya telah menderhaka kepadanya. Tetapi
syukurlah, kehadiran ibu semasa hari pengundian telah melenyapkan segala
tohmahan.
“Walaupun
berlawan menentang calon yang lebih berpengalaman, ketika itu saya
merasakan boleh menang disebabkan saya adalah anak tempatan.”
Menurut
Yusmadi, pada peringkat awal menghadiri Sidang Dewan Rakyat sebagai
Ahli Parlimen, beliau berasa bimbang. Tetapi beliau terkejut dengan
sikap beberapa ahli BN yang tidak lokek berkongsi ilmu dengannya,
seperti Datuk Shahrir Samad dan Datuk Nazri Aziz.
“Di
parlimen, walaupun BN dan pembangkang berbeza pendapat dan ideologi,
tetapi kami profesional. Di dalam dewan kami bertegang urat, tetapi di
luar dewan, kami berkawan,” kata Yusmadi, ayah kepada seorang anak
lelaki berusia 4 tahun dan anak perempuan berusia dua bulan.
Apakah cabaran paling besar sebagai seorang Ahli Parlimen?
“Bagaimana
harus memenuhi kehendak rakyat pelbagai kaum di kawasan saya dalam
keadaan ketiadaan sumber kerana Ahli Parlimen pembangkang tidak
mempunyai peruntukan. Bagi orang kampung, tidak ada bezanya seorang ADUN
dengan Ahli Parlimen. Maka, jika ADUN gagal memenuhi kehendak, mereka
menjangkakan Ahli Parlimen dapat menyelesaikan masalah.
“Bagi
pengundi fungsi kami ialah memenuhi harapan mereka. Sehubungan itu saya
perlu kreatif dan tekun mencari jalan mencelikkan minda rakyat.”
1 comment:
Semoga tuan berjaya membela nasib rakyat blik pulau. Tuan masih aktif dalam politik lg ker?
Post a Comment