MUAFAKAT Corner

Tuesday, January 24, 2012

AKADEMI RAKYAT & PUSAT HAK RAKYAT

Mulai 1 Februari 2012 warga Balik Pulau bolehlah ke No. 21, Tingkat 1, Mukim G, Jalan Balik Pulau, 11000 Balik Pulau, Pulau Pinang (di Pekan Simpang Empat) untuk mendapat khidmat guaman dan pendidikan sokongan percuma terutama kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan.

Akademi Rakyat adalah inisiatif kecil saya yang percaya bahawa suatu wadah pendidikan perlu ditawarkan kepada warga Balik Pulau yang tidak berkemampuan ataupun miskin. Ianya berdasarkan satu falsafah bahawa Pendidikan Rakyat, kepada Rakyat, dan oleh Rakyat (Education of the people, for the people and by the people). Ianya telah saya mulakan seawal tahun pertama saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Balik Pulau di Kg. Jalan Bharu. Malangnya premis yang saya gunakan ketika itu telah diroboh dan dibangun semula oleh pemilik baru yang menjadikan tempat tersebut sebagai pusat perniagaan.

Pusat Hak Rakyat (People's Rights Centre) merupakan cita-cita tertangguh saya yang sekian lama semenjak saya layak sebagai seorang peguam. Pusat tersebut adalah lanjutan kerja-kerja 'pro bono' saya mengendalikan kes-kes hak asasi manusia dan kepentingan awam. Memandangkan semenjak hampir 4 tahun berkhidmat di Parlimen Balik Pulau, saya telah diberi peluang mewakili beberapa kes hak awam seperti kes Penduduk Kg. Binjai, penduduk Kuala Jalan Bharu, penduduk Pondok Upeh, kes-kes dadah dan pekerja-pekerja kilang di Bayan Lepas. Bagi memastikan khidmat saya lebih terurus adalah wajar Pusat tersebut diwujudkan mengambilkira jangka masa panjang keperluan khidmat sedemikian rupa diperlukan di balik Pulau.

Saya berharap usaha kecil saya ini dapat sedikit sebanyak menyumbang dan meringankan beban warga Balik Pulau terutama mereka yang kurang mampu dan tidak dibela.